KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pemain tengah skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan Mohammad Saiful Jamaluddin menjadi pemain terbaharu menyertai Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/26.
Perkara itu disahkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain yang memaklumkan pemain berusia 23 tahun itu telah menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.
Menurutnya kehadiran bekas pemain Sri Pahang FC itu diharap mampu memberi impak positif kepada jentera tengah TFC
"Saiful adalah pemain yang memiliki karakter dan semangat juang tinggi. Dia menunjukkan prestasi konsisten ketika bersama skuadTok Gajah dan juga skuad muda negara.
Kami melihat beliau sebagai antara pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke dalam skuad utama musim ini. Kehadirannya dijangka mampu menambah keseimbangan di bahagian tengah, yang penting dalam perancangan taktikal pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemain yang membantu bekas pasukannya Sri Pahang FC muncul naib juara Piala Malaysia musim 2024/2025 itu dijangka akan menjalani latihan bersama TFC dalam masa terdekat.- BERNAMA