SANDAKAN, 11 Mac- Borneo Eagles gagal mempertahankan kejuaraan apabila tewas kepada New Zealand Cavaliers 12-19 dalam perlawanan akhir kejohanan ragbi Borneo Sevens di Sandakan.
Pemain kedua-dua pasukan tampil dengan kekuatan sama daripada segi kemahiran dan kepantasan sehingga menamatkan perlawanan separuh masa pertama terikat 12-12.
Cavaliers menamatkan perlawanan dengan kemenangan setelah mendapat tujuh mata daripada try dan penalti pada babak kedua perlawanan.
Sementara itu, bagi kategori wanita, Borneo Flyers tidak mempunyai masalah mempertahan kejuaraan dengan membenam pasukan Uzbekistan 40 berbalas 0.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ketika ditemui media, Hannah berkata, kementeriannya komited membantu Borneo Sevens agar mampu menarik lebih ramai pasukan beraksi dalan kejohanan itu.
"Kita juga akan mencari jalan untuk bantu melalui geran padanan sukan, cuma berapa itu, kita belum buat keputusan lagi, itu akan kita putuskan selepas acara inilah (Borneo Sevens),"katanya.
Sebanyak 14 pasukan menyertai kejohanan tersebut membabitkan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita.