(Nafuzi Zain/Foto fail)
KUALA NERUS, 30 Jun- Kegagalan mengutip tiga mata penuh ketika menentang Negeri Sembilan (NSFC) di laman sendiri jelas mengecewakan ketua jurulatih Terengganu (TFC), Nafuzi Zain.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam semalam, TFC hanya mampu mengutip satu mata selepas diikat NSFC tanpa jaringan.
Menurut Nafuzi, kekecewaan itu hadir selepas menyaksikan pasukannya gagal memanfaatkan deretan peluang di depan gol, sekali gus terlepas untuk menjamin tiga mata berharga.
Ia juga satu kerugian selepas skuad Sang Penyu tewas kepada Penang FC pada aksi sebelum itu.
"Dari segi keputusan, memang kita rasa rugi kerana terlepas tiga mata memandangkan perlawanan sebelumnya menentang Penang FC, kita dah kalah.
"Bagaimanapun, daripada keseluruhan permainan saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang masih baik biarpun dalam keadaan hujan lebat dan padang becak," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang NSFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Bagaimanapun, pengendali dari Kelantan itu tetap berpuas hati dengan persembahan dua penyerang importnya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang disifatkan sentiasa berusaha keras membantu pasukan.
Biarpun gagal mencetak jaringan, kedua-dua pemain telah mempamerkan komitmen tinggi dan kesungguhan untuk membantu pasukan, katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan TFC naik ke tangga ke-7 dengan 10 mata daripada tujuh perlawanan, manakala NSFC pula kembali ke tangga kedua dengan 20 mata hasil 11 perlawanan.
(Perlawanan aksi Liga Super, TFC menentang NSFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,
malam tadi/FB Terengganu FC)