MALAGA, 20 November- Rafael Nadal berkata dia telah meninggalkan legasi sukan dan peribadi selepas bersara daripada tenis profesional pada Selasa di Piala Davis.
Pemain berusia 38 tahun itu tewas dalam perlawanan pembukaan peringkat suku akhir ketika Belanda menewaskan Sepanyol 2-1 untuk mara ke separuh akhir.
Nadal, pemenang 22 gelaran Grand Slam, menikmati kerjaya gemilang dan bersejarah selama 23 tahun yang lalu.
"Saya meninggalkan gelanggang dengan hati yang tenang kerana saya telah meninggalkan legasi, yang saya rasa bukan sahaja dalam sukan tetapi juga secara peribadi," kata Nadal kepada peminat di Malaga semasa upacara penghormatan persaraannya.
"Saya faham bahawa kasih sayang yang saya terima, jika hanya kerana apa yang berlaku di atas gelanggang, tidak akan sama."
Nadal turut memberikan penghargaan kepada ramai yang telah membantunya sepanjang perjalanan, termasuk bapa saudaranya, Toni Nadal, yang melatihnya sejak kecil hingga ke sebahagian besar kariernya.
"Gelaran-gelaran itu, angka-angka itu ada, jadi orang mungkin tahu tentangnya, tetapi cara saya ingin diingati adalah sebagai seorang yang baik, dari sebuah kampung kecil di Mallorca," tambah Nadal.
"Saya bernasib baik kerana saya mempunyai bapa saudara yang merupakan jurulatih tenis di kampung saya ketika saya masih kecil, dan keluarga yang hebat yang menyokong saya setiap masa.
"Saya hanya mahu diingati sebagai seorang yang baik, seorang anak muda yang mengikuti impian mereka dan mencapai lebih daripada apa yang saya impikan."
Nadal diraikan dengan video montaj yang ditayangkan pada pelbagai skrin di arena Martin Carpena di Malaga, di mana lebih 10,000 peminat menyaksikan detik kariernya berakhir.
Bekas pesaingnya seperti Roger Federer, Novak Djokovic, Andy Murray, Serena Williams dan lagenda tenis lain turut meninggalkan mesej dalam video tersebut, bersama bintang bola sepak Sepanyol termasuk Raul dan Andres Iniesta, yang juga bersara pada Oktober lalu.
"Saya meninggalkan dunia tenis profesional dengan bertemu ramai rakan baik sepanjang perjalanan ini," kata Nadal dalam ucapannya yang penuh emosi.
Pemain dari Sepanyol itu berkata dia berharap dapat menjadi "duta yang baik" untuk tenis di masa depan dan tidak gentar untuk memulakan kehidupan selepas bersara.
"Saya tenang kerana saya telah menerima pendidikan untuk menghadapi apa yang bakal datang," jelasnya.
"Saya mempunyai keluarga yang hebat di sekeliling saya yang membantu dalam segala keperluan setiap hari."-AFP