WESTFIELD, 16 Ogos - Pemain golf profesional Colombia, Sebastian Munoz, melakar sejarah apabila mencatat pusingan ketiga bawah 60 pukulan dalam saingan LIV Golf, selepas menamatkan pusingan pembukaan LIV Golf Indianapolis dengan skor 12 bawah par 59, pada Jumaat.
Beraksi di The Club at Chatham Hills, Munoz yang memulakan permainan dengan hambar apabila melakukan double bogey di lubang kelima, bangkit cemerlang dengan mencatat 14 birdie termasuk 13 daripada 14 lubang terakhir.
Selepas mencatat par di lubang par-3 ke-14, beliau terus menutup pusingan bersejarah itu dengan lima birdie berturut-turut, termasuk putt jarak dekat di lubang pertama.
Munoz kini mendahului saingan dengan kelebihan tiga pukulan berbanding Dustin Johnson menjelang pusingan hujung minggu.
Hanya dua pemain lain pernah mencatatkan skor bawah 60 dalam sejarah singkat LIV Golf iaitu Bryson DeChambeau (LIV Golf Greenbrier 2023) dan Joaquin Niemann dari Chile (LIV Golf Mayakoba 2024). - REUTERS