LIVERPOOL, 16 Ogos - Juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Liverpool, membuka tirai musim baharu dengan kemenangan penuh dramatik apabila menewaskan Bournemouth 4-2 di Anfield pada Jumaat.
Mohamed Salah dan Federico Chiesa muncul wira 'The Reds' selepas masing-masing menjaringkan gol lewat permainan bagi memastikan tiga mata sulung musim ini menjadi milik tuan rumah.
Liverpool bermula garang apabila pemain baharu, Hugo Ekitike, membuka jaringan pada minit ke-37 sebelum Cody Gakpo menggandakan kelebihan pada minit ke-49.
Namun, Antoine Semenyo bangkit menyamakan kedudukan untuk Bournemouth dengan dua gol pada minit ke-64 dan 76, selepas perlawanan terhenti seketika akibat insiden serangan perkauman terhadapnya.
Chiesa mengembalikan kelebihan Liverpool pada minit ke-88 sebelum Salah menambah jaringan masa kecederaan.
Penyerang Mesir itu kemudian menuding ke langit dan melakukan gaya sambutan gol “jerung” milik mendiang Diogo Jota, sebagai penghormatan kepada rakan sepasukannya itu.
Aksi di Anfield dimulakan dengan seminit bertafakur bagi memperingati Jota dan abangnya, Andre Silva, yang maut dalam kemalangan jalan raya, diikuti nyanyian “You'll Never Walk Alone” penuh emosi oleh para penyokong. - REUTERS