CINCINNATI, 16 Ogos - Carlos Alcaraz terpaksa bekerja keras sebelum menempah slot ke separuh akhir Cincinnati Open selepas menundukkan pemain Rusia, Andrey Rublev 6-3, 4-6, 7-5 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Mason, Ohio, pada Jumaat.
Walaupun melakukan 15 kesilapan tidak paksa dan tiga kali double fault pada set penentuan, pemain Sepanyol pilihan kedua itu tetap berjaya memastikan kemenangan.
Alcaraz yang mendahului 5-3 pada set ketiga, gagal menamatkan perlawanan lebih awal apabila Rublev bangkit menyamakan kedudukan. Namun, Alcaraz kembali menguasai rentak permainan untuk mempertahankan servisnya, sebelum mematahkan servis lawan buat kali keempat bagi mengesahkan kemenangan.
Rublev yang merupakan pilihan kesembilan, dilihat goyah di set terakhir apabila melakukan lima double fault dan 17 kesilapan tidak paksa, berbanding hanya tiga double fault dan 17 kesilapan tidak paksa dalam dua set pertama.
Perlawanan berakhir dengan Rublev melakukan double fault pada mata penamat, sekali gus memberi kemenangan ke-15 berturut-turut buat Alcaraz dalam kejohanan ATP Masters 1000.
Pemain berusia 21 tahun itu akan bertemu pemenang antara Alexander Zverev (Jerman) dan Ben Shelton (AS) pada aksi separuh akhir yang dijadualkan, hari ini. - REUTERS