VANCOUVER, 14 September - Thomas Muller meraikan hari lahirnya dengan ledakan hatrik ketika membantu Vancouver Whitecaps membelasah Philadelphia Union 7-0 dalam aksi Major League Soccer (MLS), pagi tadi.
Selain Muller, Emmanuel Sabbi turut menyumbang dua gol, manakala Mathias Laborda dan Rayan Elloumi melengkapkan jaringan Whitecaps di Stadium BC Place.
Kemenangan itu turut mengesahkan slot Whitecaps ke saingan MLS Cup Playoffs selepas keputusan LAFC menundukkan San Jose Earthquakes 4-2.
Whitecaps kini mengumpul 52 mata hasil 15 kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan, sekali gus merekodkan dua kemenangan berturut-turut serta tiga perlawanan tanpa kalah.
Union yang berada di tangga teratas sebelum ini, terpaksa akur selepas rentetan dua kemenangan mereka terhenti.
Muller, legenda Jerman yang baru menyertai Whitecaps selepas 17 musim bersama Bayern Munich, menjaringkan dua gol melalui sepakan penalti pada minit ke-29 dan masa kecederaan babak pertama, sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-88.
Sabbi pula meledak pada minit ke-24 dan ke-61, manakala Elloumi yang baru menandatangani kontrak pasukan utama menjaringkan gol sulung MLS pada minit ke-80.
Laborda membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Sebastian Berhalter, yang turut mencatat tiga bantuan jaringan dalam perlawanan ini.
Penjaga gol Whitecaps, Yohei Takaoka hanya berdepan dua percubaan sepanjang 90 minit, sekali gus mengekalkan rekod bersih.-REUTERS