fb fb fb fb fb

Kejohanan Dunia Olahraga : Jepchirchir juarai maraton wanita di Tokyo

Pelari Kenya, Peres Jepchirchir / REUTERS

TOKYO, 14 September - Pelari Kenya, Peres Jepchirchir, mengatasi pesaing dari Ethiopia, Tigst Assefa, dalam pecutan sengit di Stadium Nasional Tokyo untuk menjuarai maraton wanita pada hari kedua Kejohanan Dunia Olahraga, dalam cuaca yang lembap dan panas.

Atlet berusia 31 tahun itu, yang juga pemenang emas Olimpik di Sapporo pada 2021, menamatkan larian dengan catatan dua jam, 24 minit 43 saat hanya dua saat di hadapan Assefa, pemenang pingat perak Olimpik Paris.

Acara maraton Olimpik tiga tahun lalu dipindahkan ke Sapporo kerana cuaca terik di Tokyo, dan Jepchirchir mengakui tidak menyangka masih mempunyai tenaga untuk membuat pecutan terakhir.

“Kelembapan sangat tinggi dan saya tidak sangka ia akan menjadi begitu panas. Ia bukan perancangan saya untuk memecut di garisan akhir, tetapi… saya temui tenaga tersembunyi itu. Saya benar-benar letih ketika memasuki stadium, sangat penat, tetapi saya teruskan pecutan itu,” katanya.

Sementara penguasaan atlet Afrika Timur di dua tempat teratas sudah dijangka, kejutan berlaku apabila Julia Paternain dari Uruguay menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 2:27.23, pingat dunia pertama buat negaranya.

Atlet berusia 25 tahun itu, yang dibesarkan di England dan layak mewakili Uruguay melalui ibu bapanya, mengakui tidak sedar bahawa dia berada di kedudukan podium.

“Saya tidak percaya, saya hanya tahu saya dalam kelompok lapan teratas. Saya terlalu takut untuk menoleh ke belakang kerana risau akan dipintas. Saya bangga dapat berlari untuk Uruguay, walaupun negara kecil, tetapi semangatnya besar,” katanya.

Dalam acara lain, beberapa nama besar mara ke peringkat seterusnya termasuk saingan 100 meter berpagar wanita dan lontar tukul besi, namun jaguh Norway Jakob Ingebrigtsen tersingkir di pusingan pertama acara 1,500 meter.

Pernah dua kali meraih perak dalam kejohanan dunia, Ingebrigtsen hanya menamatkan saingan di tempat kelapan dalam saringannya selepas persediaannya terganggu akibat kecederaan Achilles.

“Ini kali pertama saya gagal mara. Sudah tentu mengecewakan, tetapi inilah realiti. Saya akan cuba bangkit semula dalam 5,000 meter,” jelasnya.

Dalam acara berpagar 100 meter wanita, juara bertahan dari Jamaica, Danielle Williams, mencatat masa terpantas 12.40 saat untuk mara ke separuh akhir. Turut layak ialah juara Olimpik Masai Russell, pelari Amerika Grace Stark, pemegang rekod dunia Tobi Amusan dan Nadine Visser dari Belanda.

Bagi acara lontar tukul besi, juara dunia dan Olimpik, Camryn Rogers dari Kanada mendahului kelayakan dengan balingan sejauh 77.62 meter.

“Di perlawanan akhir nanti semua pasti akan beri yang terbaik. Ia akan jadi saingan lontaran jauh. Inilah yang kami berlatih untuk capai, dan saya tak sabar menunggu cabaran sebenar,” katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE