KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Muay Thai, petanque dan silambam sah menjadi tiga sukan pilihan yang akan dipertandingkan di Temasya SUKMA XXII Selangor 2026.
Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA hari ini yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bersama barisan pemimpin sukan.
Antaranya, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Exco dan Pengerusi Majlis Sukan Negeri.
Cadangan penambahan tiga sukan tersebut dibawa Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026, Mohd Najwan Halimi dan dipersetujui sebulat suara.
Dengan itu, SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.
Jawatankuasa turut memutuskan tiada lagi cadangan baharu atau rayuan penambahan sukan akan diterima.
Hannah turut memaklumkan KBS sedang mengkaji penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ bagi sukan yang tidak terpilih, selain merangka model baharu selepas SUKMA Kelantan 2028 bagi memastikan pembangunan atlet berterusan tanpa membebankan kewangan kerajaan.
Kejohanan dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh Selangor.