KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Malaysia Esports League 2025 (MEL25) tampil dengan format baharu yang menggunakan sistem pemilihan lebih komprehensif bagi mengangkat bakat terbaik negara ke pentas tertinggi e-sukan.
Esports Integrated (ESI) dengan kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan perubahan itu pada peringkat akhir MEL25, yang diiktiraf sebagai kejohanan akar umbi terbesar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir menerusi kenyataan memaklumkan MEL25 memperkenalkan carta kedudukan kebangsaan yang merekodkan prestasi pemain dari Januari hingga Ogos 2025.
Sistem tersebut diintegrasikan dengan MyLeague MESF, membolehkan pemain mengumpul mata melalui kejohanan dalam talian atau fizikal sepanjang musim.
“Format baharu ini bukti komitmen ESI mendukung visi strategik kerajaan untuk menyediakan platform yang mampan dan menyeluruh dalam mencungkil bakat e-sukan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin menjelaskan format berkenaan memberi peluang lebih adil kepada pemain konsisten sepanjang musim, sekali gus memudahkan pemilihan atlet untuk temasya seperti Sukan SEA atau Sukan Asia.
Peringkat akhir MEL25 mempertandingkan sembilan acara iaitu eFootball Mobile, PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Tekken 8, Street Fighter 6, King of Fighters XV, Gran Turismo 7 dan Honor of Kings. Aksi berlangsung setiap hujung minggu bermula 3 hingga 24 Ogos di ESI Hub, Spacerubix, Puchong.
Bagi mengekalkan penglibatan akar umbi, kejohanan terbuka di setiap negeri telah dianjurkan dari 18 Mei hingga 20 Julai, melibatkan permainan berpasukan seperti MLBB dan PUBG Mobile serta permainan individu seperti eFootball dan Tekken 8.