KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Acara gusti profesional negara Slamfest 2025 dijadual berlangsung 30 Ogos ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, bakal menjadi platform bakat tempatan 'memikat' syarikat gusti terkemuka dunia World Wrestling Entertainment (WWE).
Pengasas Asia-Pacific (APAC) Wrestling, Ayez Shaukat Fonseka Mohd Farid atau lebih dikenali sebagai Shaukat berkata acara itu bakal dihadiri pencari bakat WWE Independent Development (WWE ID) bagi menilai potensi sebenar dimiliki lebih 10 penggusti tempatan ketika bertarung dalam gelanggang.
"Macam APAC Wrestling ini sudah buktikan kita sama standard dengan international level dan kita memang sudah ke arah itu, apa yang kita sajikan adalah seperti WWE jadi saya rasa Slamfest 2025 ini adalah peluang untuk tunjukan bakat", katanya.
Acara bertaraf antarabangsa itu akan menghimpunkan bintang tempatan dan dunia, termasuk pertembungan kemuncak antara perintis gusti profesional negara, Shaukat, dan bekas juara dunia WWE, Jinder Mahal, yang membuat penampilan sulung di Asia Tenggara.
Turut menjadi tumpuan, aksi juara bertemu juara antara Cappuccino Jones, juara lelaki WWE Independent Development (WWE ID), dan bintang Malaysia, Dreamkiller Azroy.
Bagi divisyen wanita, juara wanita WWE ID, Kylie Rae akan menentang penggusti wanita berhijab pertama dunia, Nor “Phoenix” Diana.
Slamfest 2025 turut mempertaruhkan pertarungan empat penjuru bagi menentukan pencabar utama kejuaraan wanita APAC yang membariskan Tarlee dari Australia, Crystal dari Filipina, Mio Shirai dari Jepun dan Kira Summer, bintang kacukan Australia-Jepun.
Acara ini akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui platform CloudJoi dan TikTok rasmi Shaukat bagi penonton dari New York, Tokyo, Sydney hingga seluruh Asia Tenggara berpeluang menyaksikan aksi bertaraf dunia yang berlangsung hujung bulan ini.