LONDON, 14 Ogos - Liverpool mencapai persetujuan untuk mendapatkan pertahanan Parma, Giovanni Leoni, lapor PA Media DPA.
The Reds akan membayar £26 juta (US$35.5 juta) termasuk tambahan insentif untuk pemain berusia 18 tahun itu.
Leoni dijangka menjalani pemeriksaan perubatan pada Khamis ketika ketua jurulatih Arne Slot berusaha memperkukuh pilihan di posisi pertahanan tengah.
Slot mengharungi hampir keseluruhan pramusim dengan hanya dua pemain pakar di posisi itu iaitu Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate berikutan Joe Gomez, yang kembali menjalani latihan minggu ini, mengalami kecederaan dan Jarell Quansah telah dijual kepada Bayer Leverkusen.
Liverpool masih berminat mendapatkan pemain Crystal Palace, Marc Guehi, yang mempunyai baki setahun kontrak, namun setakat ini belum mencapai persetujuan harga.
“Kelab telah bersetuju mengenai perpindahan itu tetapi dia belum menandatangani untuk kami. Apabila dia menandatangani, barulah saya boleh berkongsi lebih lanjut,” kata Slot yang enggan mengulas mengenai usaha mendapatkan Guehi.
“Dia (Guehi) bukan pemain kami dan malangnya dia adalah kapten pasukan yang menewaskan kami Ahad lalu.
“Jika mahu berbincang tentangnya, anda perlu berjumpa dengan pihak Palace dan (Oliver) Glasner untuk mendapatkan pandangan mereka,” katanya. - BERNAMA