KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Pasukan Tudor Pro Cycling Team dijangka tampil lebih ‘berbisa’ apabila mempertaruhkan pelumba pecut baharu, Alberto Dainese, bagi menguasai laluan landai dalam saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL 2025) dari 28 September hingga 5 Oktober depan.
Penyertaan pelumba Itali itu diumumkan Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025, Emir Abdul Jalal, yang menyifatkan Dainese hadir dengan reputasi besar sebagai pemenang dua peringkat Giro d’Italia (2022, 2023) dan satu peringkat Vuelta a Espana (2023).
Kehadirannya menggantikan bintang pecut Arvid de Kleijn, yang sebelum ini mengumpul empat kemenangan peringkat dalam dua edisi terakhir LTdL.
“Arvid mempunyai peminat tersendiri sejak memenangi dua peringkat pada 2023, selain menjulang jersi Raja Pecut. Namun, beliau gagal mempertahankan gelaran itu tahun lalu selepas dirampas Matteo Malucelli.
“Mungkin atas faktor itu, Tudor memilih Dainese yang memiliki pengalaman luas di pentas Grand Tour. Walaupun ini penampilan sulungnya di LTdL, beliau pasti berdepan cabaran unik berlumba dalam cuaca lebih ekstrem,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara pelumba lain dalam senarai awal Tudor ialah Robin Froideraux, Mika Heming, Mathys Rondel, Roland Thalmann dan Yannis Voisard.
LTdL 2025 akan meliputi 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer dengan penyertaan 22 pasukan, termasuk tiga WorldTeam, lapan ProTeam, 10 Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.
Perlumbaan bermula di Pulau Langkawi (96.5km), diikuti Padang Besar–Kepala Batas (170.1km), Gerik–Pasir Puteh (198.2km), Kuala Terengganu–Kemaman (140.8km), Temerloh–Bukit Fraser (133.7km), Shah Alam–Port Dickson (123.4km), Melaka–Medini (214.6km) dan Tangkak–Kuala Lumpur (180.5km). - BERNAMA