fb fb fb fb fb

MSMR himpun 30,000 pengunjung sempena sambutan Hari Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada sidang media MSMR, hari ini.

KUALA LUMPUR, 11 September- Malaysia Sarong Music Run (MSMR) sempena Hari Malaysia 2025 bakal menghimpunkan lebih 30,000 pengunjung di hadapan Menara Berkembar Petronas pada 20 September ini.

Acara ikonik yang menampilkan gabungan larian, budaya dan gaya hidup sihat itu turut disertai peserta dari 26 negara menjadikan ia sebuah festival rakyat bertaraf antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa turut menyifatkan penganjuran itu sebagai platform mempromosikan Kuala Lumpur dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Peserta datang dari dalam dan luar negara, malah saya difahamkan lebih 26 negara turut serta. Secara tidak langsung, ini sangat baik kerana ia bukan sahaja mempromosikan Kuala Lumpur, bahkan juga negara kita.

Kita dapat tonjolkan Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan termasuk dalam aspek sukan dan budaya, sekali gus menjadi kenangan atau pengalaman berharga kepada para pengunjung yang datang ke Malaysia," Datuk Seri Dr. Zaliha kepada pemberita hari ini.

Presiden Malaysia Marathon Official Sdn Bhd, Eddy Casmady berkata MSMR membawa kelainan dengan menggabungkan larian sejauh lima kilometer sambil berbalut sarong, diiringi persembahan muzik tradisional dan hidangan makanan tempatan.

MSMR 2025 menawarkan tiga kategori iaitu EKI JETOUR X BSC Relay pada 9 September, larian 5KM Malaysia Speed khusus untuk rakyat tempatan serta 5KM Fun Run yang terbuka kepada semua termasuk pelancong antarabangsa.

Acara turut dimeriahkan dengan konsert dan persembahan kebudayaan bermula pukul 6.30 petang.

Dengan kombinasi sukan, budaya dan gaya hidup sihat, MSMR 2025 diyakini bakal mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM