fb fb fb fb fb

Tiket Piala Dunia terlalu mahal, Mamdani desak FIFA ubah dasar

Foto Reuters

NEW YORK, 10 September- Calon Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menggerakkan penyokongnya di Bronx bagi membantah dasar tiket yang dianggap sebagai “ketamakan” FIFA, menjelang penjualan tiket Piala Dunia 2026.

Mamdani, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri New York kelahiran Uganda, melancarkan satu petisyen dengan tiga tuntutan utama iaitu menamatkan amalan "dynamic pricing", mengehadkan harga jualan semula pada nilai asal, serta memperuntukkan 15 peratus tiket dengan harga diskaun kepada penduduk tempatan.

FIFA sebelum ini mengesahkan dynamic pricing akan diguna pakai bagi fasa pertama jualan tiket Piala Dunia 2026, dengan harga berbeza mengikut permintaan pasaran dan tempat duduk bermula pada AS$60.

Sistem sama pernah digunakan dalam jualan tiket penerbangan dan hotel musim percutian, namun sering mencetuskan rungutan termasuk daripada peminat kumpulan muzik Oasis yang mendapati harga tiket konsert reunion meningkat secara mendadak akibat skim itu.

“Bola sepak adalah cara kita memahami dunia. Tetapi, ramai jiran kita tidak akan mampu hadir kerana FIFA menggandakan harga maksimum tiket.

Ini kerana FIFA kini memutuskan buat kali pertama dalam sejarahnya untuk menggunakan "dynamic pricing" kerana golongan pekerja dihalang daripada menikmati permainan yang mereka cintai," kata Mamdani sambil mengimbau kenangan menyaksikan Senegal menewaskan Perancis pada Piala Dunia 2002.

Mamdani turut membandingkan dasar FIFA di Amerika Syarikat dengan Mexico, di mana kerajaan negara itu melalui PROFECO telah menetapkan platform jualan semula rasmi yang membenarkan tiket dijual pada harga asal sahaja.

Menurut FIFA, peluang pertama untuk mendapatkan tiket ke Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico akan dibuka melalui Visa Presale Draw bermula 10 September hingga 19 September.

Tiket peringkat kumpulan bermula pada AS$60, manakala tiket ke perlawanan akhir boleh mencecah sehingga AS$6,730. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM