ISTANBUL, 29 Ogos – Kontrak Jose Mourinho bersama Fenerbahce ditamatkan lebih awal selepas kelab Turki itu mengumumkan persetujuan bersama dengan pengurus berusia 62 tahun itu pada Jumaat.
Mourinho, yang dilantik pada Julai 2024 selepas meninggalkan AS Roma, dibawa masuk dengan harapan dapat menamatkan penantian Fenerbahce meraih gelaran Liga Super Turki sejak 2014.
Pengurus yang pernah membimbing Chelsea, Real Madrid dan Manchester United itu disambut meriah ribuan penyokong ketika tiba di Istanbul musim panas lalu, sekali gus meningkatkan harapan untuk menamatkan dominasi Galatasaray.
Bagaimanapun, permulaan musim yang tidak konsisten serta kegagalan awal di pentas Eropah meningkatkan tekanan terhadapnya, sebelum kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menamatkan kerjasama.
Fenerbahce setakat ini belum mengumumkan pengganti Mourinho. - REUTERS