fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Lewandowski kembali ketuai Poland

Penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski kembali memperkukuhkan pasukan kebangsaan negara itu bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Foto REUTERS

WARSAW, 29 Ogos - Penyerang veteran, Robert Lewandowski dinamakan sebagai sebagai ketua pasukan Poland selepas dipanggil kembali menyarung jersi kebangsaan negara berkenaan oleh jurulatih baharu, Jan Urban, bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Lewandowski, penjaring terbanyak sepanjang zaman Poland, sebelum ini enggan beraksi bersama skuad kebangsaan pada Jun lalu selepas bekas jurulatih, Michal Probierz melucutkan lilitan kapten daripadanya.

Probierz kemudiannya meletak jawatan selepas pasukan bimbingannya tewas kepada Finland dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Urban dalam kenyataannya di laman rasmi Persatuan Bola Sepak Poland menegaskan bahawa Lewandowski akan kembali memimpin skuad Poland.

“Lewandowski akan menjadi kapten pasukan. Keputusan ini muktamad, dan saya menganggap isu lilitan kapten telah ditutup,” kata Urban.

Beliau menjelaskan keputusan itu turut dibincangkan bersama pemain-pemain lain sebelum diumumkan secara rasmi.

Lewandowski, yang membuat penampilan sulung pada 2008 telah menjaringkan 85 gol antarabangsa bersama Poland.

Poland dijadual menentang Belanda di Rotterdam pada 4 September dan bertemu Finland di Chorzow pada 7 September dalam aksi kelayakan kumpulan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD