LONDON, 29 September - Jose Mourinho kembali ke Stamford Bridge esok bersama Benfica, dua dekad selepas dia memperkenalkan dirinya sebagai “The Special One” ketika mula mengemudi Chelsea pada 2004.
Jurulatih berusia 62 tahun itu kini mendakwa dirinya lebih rendah diri, namun ketika diperkenalkan sebagai pengendali baharu Benfica, beliau tetap menegaskan rekodnya masih membanggakan kerana berjaya membawa dua pasukan ke final Eropah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Mourinho, yang sebelum ini dipecat Fenerbahce Ogos lalu, kini menggalas misi membawa malam bersejarah dan kejuaraan ke Benfica. Sepanjang kariernya, dia pernah menjuarai Liga Juara Eropah bersama Porto dan Inter Milan, tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, serta La Liga bersama Real Madrid.
Presiden Benfica, Rui Costa menafikan pelantikan Mourinho berkait dengan pemilihan kelab yang dijadualkan Oktober ini, sebaliknya menegaskan bekas jurulatih Chelsea itu memiliki kredibiliti untuk mengemudi pasukan. Mourinho memulakan tugas dengan kemenangan 3-0 menentang AVS, diikuti seri 1-1 menentang Rio Ave, dan menewaskan Gil Vicente 2-1 pada Jumaat lalu.
Kehadiran Mourinho kembali menarik perhatian penyokong Chelsea. Malah, pihak kelab menaikkan harga tiket ke tahap premium walaupun Benfica bukan lawan ternama. Tindakan itu bagaimanapun dikecam Trust Penyokong Chelsea sebagai eksploitasi terhadap kesetiaan mereka.
Mourinho mempunyai hubungan istimewa dengan penyokong Chelsea, khususnya pada era pertamanya yang penuh kejayaan. Namun, hubungan itu pernah tercalar apabila beliau kembali bersama Manchester United pada 2017 dan disambut dengan ejekan “Judas”. Mourinho membalas dengan mengangkat tiga jari, mengingatkan peminat akan tiga trofi Liga Perdana yang dimenanginya untuk kelab itu.-AFP