PARIS, 29 September - Lyon terus mempamerkan permulaan cemerlang musim ini selepas menundukkan Lille 1-0 pada aksi Ligue 1, sekali gus menyamai kutipan 15 mata dengan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) pada Ahad.
Pemain baharu dari Liverpool, Tyler Morton, menjadi wira dengan jaringan tunggal pada minit ke-13 hasil hantaran silang tepat Nicolas Tagliafico. Ia merupakan kemenangan kelima Lyon dalam enam perlawanan.
Ketua pasukan Lyon, Corentin Tolisso, mengakui kemenangan itu sukar dicapai. “Ia sangat sukar, kami bergelut hampir sepanjang permainan,” katanya sambil memuji permulaan luar biasa pasukannya musim ini.
Lille cuba bangkit tetapi gagal menembusi benteng kukuh penjaga gol Dominik Greif, yang tampil cemerlang termasuk menafikan percubaan Osame Sahraoui pada minit ke-90.
Jurulatih Lille, Bruno Genesio, pula diarah keluar padang selepas melampiaskan kemarahan dengan menyepak botol air berhampiran pengadil keempat. “Saya dapat kad kerana sepak botol selepas pasukan saya terlepas peluang. Kami sebenarnya layak dapat lebih baik,” katanya.
Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan, Lille jatuh ke tangga keenam dengan 10 mata. Lyon pula berada di kedudukan kedua liga, hanya dipisahkan perbezaan jaringan dengan PSG yang menewaskan Auxerre 2-0 sehari sebelumnya.
Dalam perlawanan lain, Brest menang 2-0 ke atas Angers untuk naik ke tangga kesembilan, Metz seri tanpa jaringan menentang Le Havre, Nice terikat 1-1 dengan Paris FC, manakala Rennes gagal memanfaatkan kelebihan pemain apabila seri 0-0 menentang Lens yang bermain 10 orang hampir sepanjang perlawanan.-AFP