fb fb fb fb fb

70,000 pengunjung meriahkan Festival Y15, Y16 & 135LC 6.0

Festival Y15, Y16 & 135LC 6.0 dihadiri peminat motosikal dari seluruh negara

KUBANG MENERONG, 29 September - Festival Y15, Y16 & 135LC 6.0 anjuran Maju YX15 mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran di Pulau Pinang.

Dihadiri peminat motosikal dari seluruh negara, festival edisi keenam itu bukan sahaja menjadi medan pertemuan komuniti permotoran, malah membuktikan industri motosikal tempatan terus mendapat tempat di hati masyarakat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung serta menyatakan sokongan terhadap inisiatif memperkukuh ekosistem permotoran negara.

Kemuncak festival menyaksikan penyampaian hadiah utama berupa sebuah kereta Mercedes Benz A250 kepada pemenang bertuah, Yaya Fairuz, 19, dari Puncak Alam, yang ditaja sepenuhnya oleh RCB selaku Penaja Utama.

Selain itu, pelbagai hadiah lumayan turut memeriahkan festival, antaranya beberapa buah motosikal, rim carbon RCB bernilai RM12,000, barangan edisi khas 30 tahun RCB, cover set eksklusif dan pelbagai cenderahati rasmi. UMA Racing selaku rakan penaja turut menyumbangkan Superhead bernilai RM1,500 serta produk berjumlah RM3,000 untuk pertandingan sepanjang acara.

Menurut Marcus Leong, Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran RCB, festival ini menjadi platform istimewa untuk meraikan ulang tahun ke-30 syarikat bersama komuniti permotoran.

“Festival Y15, Y16 & 135LC 6.0 membuktikan semangat luar biasa komuniti motosikal tempatan. Kehadiran puluhan ribu pengunjung memberi inspirasi kepada kami untuk terus berinovasi dan menghargai sokongan mereka sepanjang perjalanan RCB,” katanya.

Menerusi sokongan padu daripada penaja dan sambutan pengunjung yang menggalakkan, Festival Y15, Y16 & 135LC 6.0 sekali lagi muncul sebagai acara ikonik yang bukan sahaja meraikan dunia permotoran, malah mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam komuniti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE