SPIELBERG, 16 Ogos – Marco Bezzecchi mencipta kejutan besar di Litar Red Bull Ring apabila meraih petak utama pertama musim ini pada Grand Prix Austria, selepas bangkit daripada sesi kelayakan Q1 yang mencabar.
Pelumba Aprilia itu mencatat masa 1 minit 28.060 saat, sekali gus mengesahkan petak utama kelima dalam kariernya dan yang pertama sejak Grand Prix India 2023.
Bezzecchi, yang dibimbing melalui VR46 Riders Academy oleh legenda Valentino Rossi, mendedahkan rahsia kebangkitannya datang selepas sesi perbincangan lewat malam bersama mentornya itu.
“Semalam saya agak kecewa kerana tak dapat catat masa baik dalam sesi latihan. Tapi kami jumpa punca masalah, saya kena ucap terima kasih banyak pada Vale, dia turun ke garaj dan kami kerja sampai lewat malam. Hasilnya nampak hari ini,” katanya.
Di barisan hadapan, Bezzecchi ditemani pelumba Gresini Racing Alex Marquez dan juara dunia bertahan Ducati, Francesco Bagnaia.
Sementara itu, pendahulu kejuaraan Marc Marquez yang memburu kemenangan pertama di Red Bull Ring, hanya mampu bermula dari petak keempat selepas terbabas ke kawasan gravel ketika cuba membuat pecutan terakhir.
Insiden dramatik itu berlaku di selekoh dua apabila pelumba Sepanyol itu terlanggar kerb, sebelum mengawal semula Ducatinya untuk melengkapkan pusingan walaupun jelas terjejas.
Pelumba KTM, Pedro Acosta, juga hampir mencuri tumpuan apabila mencatat sektor pertama dan kedua terpantas, namun kesilapan kecil memaksanya berpuas hati di petak ketujuh di belakang Enea Bastianini dan Fermin Aldeguer.
Dalam perkembangan lain, KTM Tech3 kehilangan seorang wakil apabila Maverick Vinales terpaksa menarik diri dari perlumbaan susulan kesakitan serius di bahu kiri, hanya beberapa minggu selepas menjalani pembedahan.-REUTERS