SPIELBERG, 16 Ogos - Pelumba Ducati, Marc Marquez berjaya memenangi perlumbaan pecut Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring, pada Sabtu.
Walaupun bermula dari petak keempat, Marquez menunggang dengan cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di depan adiknya sendiri, Alex Marquez, yang berada di tempat kedua.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat Marquez di Austria, dan juga kemenangan pecut ke-12 daripada 13 perlumbaan musim ini.
Keputusan itu menjadikan dia semakin selesa di tangga teratas kejuaraan dengan kelebihan 123 mata berbanding Alex.
Rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia pula tidak bernasib baik apabila motosikalnya bermasalah dan terpaksa berundur awal.
Di tempat ketiga, pelumba KTM, Pedro Acosta berjaya naik podium di depan penyokong tuan rumah. Manakala Marco Bezzecchi dari Aprilia, yang bermula dari petak utama, hanya mampu habis di kedudukan keempat.-REUTERS