fb fb fb fb fb

MOTOGP Austria: Bagnaia catat kemenangan ketiga berturut-turut

Foto Reuters

AUSTRIA, 22 Ogos- Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mencatat kemenangan ketiga berturut-turut di Grand Prix (GP) Austria dalam saingan penuh dramatik di Spielberg, semalam.

Pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo pula menamatkan saingan di podium kedua buat Yamaha selepas bangkit pada saat-saat akhir.


(Francesco Bagnaia pemandu Ducati Lenovo beraksi semasa perlumbaan / Foto Reuters)

Bagnaia yang menjuarai GP Britain dan Belanda sebelum ini, menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 0.492 saat ke atas Quartararo.

Kejayaan itu menyaksikan dia muncul pelumba kedua dari Itali melakar 3 kemenangan berturut-turut selepas juara dunia 9 kali, Valentino Rossi melakukannya sebelum bersara tahun lalu.

Bemula di petak kedua, Bagnaia mempamer aksi menarik di Litar Red Bull Ring apabila memintas pelumba petak hadapan, Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing di pusingan pertama.

Manakala rakan sepasukannya, Jack Miller pula terpaksa berpuas hati apabila menamatkan saingan di tempat ketiga selepas dipintas Quartararo pada baki 3 pusingan terakhir.

Bagi Quartararo pula, dia masih memiliki kelebihan 32 mata ke atas pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dalam kejuaraan pelumba dunia.

Manakala Bagnaia pula di tempat ketiga dengan 44 mata di belakang pelumba dari Perancis tersebut. - Reuters

Media Baharu