MOTEGI, 27 September - Marc Marquez semakin hampir merangkul gelaran dunia MotoGP ketujuhnya selepas menamatkan perlumbaan pecut di tempat kedua pada Sabtu di belakang rakan sepasukan Francesco Bagnaia.
Pelumba Ducati tersebut hanya perlu menamatkan Moto GP Jepun Ahad ini di tempat kedua untuk mengesahkan kejuaraan meskipun pesaing utama yang juga adiknya Alex bergelar juara pada perlumbaan tersebut.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu mengutip sembilan mata hasil selepas menduduki tempat kedua, manakala Alex gagal mengutip sebarang mata selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10.
“Rentak perlumbaan bagus, rasa jentera semakin baik setiap kali keluar litar, jadi esok akan jadi perlumbaan yang panjang.
"Tetapi kita tidak boleh lupa sasaran utama hujung minggu ini ialah kejuaraan dunia,” kata Marquez.
Bagnaia, juara dunia dua kali dari Itali yang bergelut musim ini, tampil cemerlang di Motegi apabila memulakan perlumbaan dari petak utama hasil catatan rekod baharu kelayakan dan menutup saingan dengan kemenangan pecut pertamanya musim ini.
“Saya mahu ucap terima kasih kepada pasukan kerana seperti biasa mereka melakukan kerja luar biasa. Saya dapat menekan, mengawal perlumbaan, dan ia sangat manis, satu emosi yang hebat,” kata Bagnaia.
Bagnaia, yang juga juara pecut dan MotoGP di Jepun tahun lalu, pantas meninggalkan Joan Mir sebaik perlumbaan bermula dan tidak pernah digugat sepanjang 12 pusingan.
Marquez yang bermula di petak ketiga sempat dipintas Pedro Acosta pada pusingan pertama, namun berjaya mengatasi semula Mir dan Acosta untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Acosta melengkapkan podium di tempat ketiga.
“Ia agak sukar kerana saya perlu memintas dua pelumba yang terkenal sangat lewat membrek.
"Setiap kali saya cuba, saya masuk selekoh terlalu lebar dan hilang masa. Bila nampak Pecco (Bagnaia) semakin jauh, saya putuskan untuk fokus kepada perlumbaan saya sendiri,” jelas Marquez.
Perlumbaan pecut itu turut menyaksikan juara bertahan Jorge Martin serta Marco Bezzecchi terbabit dalam kemalangan di selekoh pertama, manakala Jack Miller turut terjatuh di penghujung saingan. - AFP
