fb fb fb fb fb

Jangan terburu-buru, biar FAM lengkapkan rayuan - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius keputusan yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan menegaskan keutamaan kini adalah memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melengkapkan proses rayuan mengikut perundangan FIFA serta antarabangsa sehingga selesai sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, implikasi keputusan itu bukan sahaja melibatkan tujuh pemain, sebaliknya memberi kesan kepada keseluruhan skuad Harimau Malaya.

Beliau menegaskan, kesan keputusan itu bukan sahaja menjejaskan tujuh-tujuh pemain terbabit, malah memberi impak kepada pasukan negara.

“Oleh itu, semua pihak perlu memastikan proses ini dijalankan dengan penuh integriti dan ketelusan demi nama baik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Instagram hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa serta sedih bersama ribuan penyokong Harimau Malaya berhubung keputusan FIFA itu, namun mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru sebelum proses rayuan selesai.

“Jangan terburu-buru membuat kesimpulan. Biarkan proses rayuan diselesaikan dahulu, kemudian barulah kita ambil langkah seterusnya,” jelasnya.

Menurut Hannah, sebagai Menteri Belia dan Sukan beliau kekal komited untuk melindungi hak serta kebajikan setiap atlet Malaysia tanpa mengira nama atau latar belakang.

Semalam tujuh pemain skuad Harimau Malaya berdarah kacukan dikenakan tindakan tegas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati memalsukan dokumen bagi mewakili Malaysia.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang sebelum ini sudah beraksi dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD