fb fb fb fb fb

Mora mahu kekalkan momentum berdepan Ulsan Hyundai - ACL 2022

(FOTO FB JDT)

ISKANDAR PUTERI, 16 April- Kejayaan besar Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Guangzhou Evergrande FC dalam aksi pembuka tirai Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam bukan sahaja menggembirakan penyokong kelab berkenaan malah turut menerima 'tabik hormat' seluruh peminat sukan tanah air.

Ini kerana, juara Liga Super lapan kali itu bukan sahaja melakukannya dengan jaringan besar 5-0 malah turut melakar sejarah baharu dengan menjadi kelab pertama dari Malaysia mengutip 3 mata dalam kempen kelab paling berprestij di Asia.

Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora memuji barisan pemainnya yang mempamer semangat luar biasa untuk menewaskan kelab gergasi China tersebut.

"Tidak kira sama ada pasukan utama atau kedua, mereka tetap jalankan tugas dengan baik. Guangzhou Evergrande FC adalah salah satu antara pasukan gergasi di Asia dan telah memenangi banyak kejuaraan di China. Jadi, menang ke atas mereka adalah satu pencapaian yang baik," kata Mora ketika ditemu bual RTM selepas perlawanan tersebut.


(Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan menentang Guangzhou Evergrande FC)

JDT kini mendahului Kumpulan I dengan tiga mata manakala Guangzhou pula di tangga tercorot.

Skuad Harimau Selatan itu akan membuat perhitungan dengan Ulsan Hyundai pada aksi kedua Isnin depan.

Sementara itu, dua lagi pasukan, iaitu juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale dan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai berkongsi satu mata di tangga kedua dan ketiga selepas terikat 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Babak pertama menyaksikan Ulsan Hyundai memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-20 menerusi pemain kelahiran Brazil Leonardo Nascimento.

Tersentak dengan gol itu, Kawasaki Frontale bangkit dengan beberapa percubaan namun gagal menjaringkan gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, Kawasaki Frontale terus menggandakan asakan untuk memburu gol dan akhirnya berhasil menyamakan kedudukan pada lewat permainan menerusi Shintaro Kurumaya.

Media Baharu