KUALA LUMPUR, 24 Jun - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memilih calon Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai pendek calon berkenaan.
"Kita dah senarai pendek beberapa nama dan esok (hari ini) saya akan berada di Pulau Pinang dengan menteri (Hannah), masa itu saya akan bincang mengenainya.
"Walaupun hak (pemilihan) milik MOM, tetapi berpendapat kita perlu mendapat persetujuan daripada menteri," katanya.
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hadir Sambutan Hari Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil - Foto FB MOM
Beliau ditemui media selepas pelancaran Sambutan Hari Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.
Tan Sri Mohamad Norza mengulas mengenai kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) yang meminta MOM untuk mempercepat pelantikan CDM dan Timbalan CDM serta pengurus pasukan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu yang dijadualkan pada 9 hingga 20 Dis ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan calon-calon berkenaan.
“Isunya dari segi logistik kerana Sukan SEA kali ini berlangsung di tiga tempat iaitu Songkhla, Chonburi dan Bangkok.
"Saya rasa kita perlu pertimbangkan seorang CDM dan sekurang-kurangnya dua timbalan CDM.
“Jadi, kita akan meneliti tiga atau empat personaliti dan ia adalah gabungan antara pentadbir dari MOM, bekas atlet dan wakil persatuan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, MOM akan berbincang dengan MSN berhubung rekaan baharu bagi pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan SEA Thailand tahun ini.