(FOTO FAIL)
KUALA LUMPUR, 5 Februari - Kehebatan sesuatu negara dalam arena sukan, bergantung kepada banyak perkara dan salah satunya ialah keupayaan melahirkan atlet-atlet muda sebagai pelapis masa depan.
Sedar dengan senario itu, syarikat minuman terkenal di Malaysia, MILO telah lama mewujudkan satu program yang mampu melahirkan bakat-bakat baharu sukan negara melibatkan generasi muda di peringkat sekolah.
Inisatif yang diperkenalkan oleh MILO dalam melahirkan atlet-atlet pelapis negara itu dikenali sebagai program 'Klinik Juara'.
Pengurus pemasaran penggunanya, Andrew Yoon mengakui program tersebut adalah satu platform yang memberi peluang kepada semua golongan muda negara bagi mencungkil serta menyerlahkan bakat sukan mereka.
Selepas melihat impak positifnya, beliau menjelaskan MILO bersedia meneruskan program 'Klinik Juara' bagi membantu melahirkan lebih ramai atlet muda yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa suatu masa nanti.
"Program Juara Klinik akan berterusan tahun ini, kami masih memuktamadkan bilangan peserta tapi kami akan cuba buat yang lebih besarlah, kesemua fokus sukan akar umbi dan juga semua golongan rakyat, untuk Malaysia lah," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM, di sini hari ini.
Program Klinik Juara telah bermula sejak tahun 2015 dan kali ini bakal melibatkan sukan seperti badminton, bola sepak, futsal dan bola keranjang.
(Foto fail)
Para peserta akan mendapat bimbingan daripada jurulatih-jurulatih cemerlang dan juga bekas-bekas pemain negara.
Selain itu, ia juga dilihat dapat membentuk karakter dan nilai positif dalam diri generasi muda, sekali gus menjadi teras penting buat mereka pada masa hadapan.
Dalam pada itu juga, kerjasama yang diberikan oleh para ibu bapa juga amat membantu dalam membentuk atlet generasi muda tersebut.
"Pada pandangan saya aktiviti ini perlu diterapkan pada usia kecil lagilah, bermakna anak-anak di awal usia 2-3 tahun pun kita sudah dedahkan dia pada aktiviti sukan dan pada saya, ibu bapa memainkan peranan," jelas Ahmad Riduan Rozali.
"Saya bagi pihak ibu bapa amat mengalakkan pendedahan awal kepada sukan, apa-apa sukan sekali pun, macam hari ini kita 'highlight' kan kepada badminton, patut diketengahkan di peringkat awal lagi," menurut Mohd Zailan Ismail.
Bagi sukan badminton, para peserta berpeluang menimba pengalaman di bawah bimbingan pemain legenda yang kini menjadi jurulatih iaitu Datuk Rashid Sidek.
Laporan disediakan wartawan, Amirul Aizad Mohd Shafie.