fb fb fb fb fb

Saingan Moto3: Damok sedang biasakan diri dengan jentera KTM

(Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman ketika ditemu bual Berita RTM) 

PUCHONG, 5 Februari - Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman mengakui sedang membiasakan diri dengan jentera KTM yang pertama kali digunakan bersama pasukan MT Helmets-MSI dalam saingan Moto3 musim ini.

Jelas pelumba berusia 21 tahun itu, ini kerana jentera KTM dan Honda yang ditunggang beliau sebelum ini mempunyai karakter yang amat berbeza.

Justeru, beliau tekad memanfaat sepenuhnya sesi latihan di Jerez,Sepanyol dan Portimao, Portugal pada Mac bagi mendapat gaya tunggangan yang sesuai dengan jentera baharu.

"Agak sukar sedikit apabila daripada Honda pergi ke KTM untuk sesuaikan diri, KTM saya perlu ubah saya punya 'riding style' (gaya tunggangan) kepada 'stop' and 'go' sebab sewaktu ujian tahun lepas saya masih membawa saya punya 'riding style' Honda, jadi di situ aspek saya untuk biasakan diri," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM di kediamannya, di sini.


(Foto FB Syarifuddin Azman - #Damok63)

Syarifuddin yang terkenal dengan gelaran 'Damok' juga mendapat panduan daripada pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang mempunyai pengalaman mengendalikan jentera KTM semasa bersaing dalam saingan Moto3 pada tahun 2012.

Saingan Moto3 musim ini akan membuka tirai di Litar Portimao, Portugal, pada 27 Mac depan.

Media Baharu