fb fb fb fb fb

Peminat bola sepak Bolivia berkhemah dalam cuaca sejuk demi tiket menentang Brazil

Stadium Villa Ingenio, El Alto/ REUTERS

EL ALTO, 3 Ogos – Ratusan peminat bola sepak Bolivia sanggup meredah suhu sejuk melampau di sini, apabila mereka mula berkhemah di luar Stadium Villa Ingenio sejak awal minggu ini demi mendapatkan tiket perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Bolivia dan Brazil.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 9 September depan bakal mencatat sejarah tersendiri apabila stadium yang terletak pada ketinggian 4,095 meter dari paras laut itu menjadi tuan rumah buat pertama kali bagi aksi kelayakan Piala Dunia.

Peminat tegar bola sepak Cristina Balcazar berkata, sokongan kepada pasukan kebangsaan tidak seharusnya terhenti walaupun berdepan kesukaran dan cuaca ekstrem.

"Walaupun berdepan pelbagai situasi dan pengorbanan, kami tetap menyokong pasukan Bolivia. Kita perlu beri sokongan, walaupun dalam kesejukan lima darjah di bawah sifar. Kita harus teruskan perjuangan ini dan akhirnya dapatkan tiket," katanya.

Seorang lagi peminat, Miguel Altamirano berkata, mereka telah beratur sejak Isnin lalu dan bermalam di kawasan stadium meskipun terpaksa menempuh cuaca sejuk melampau.

"Kami sudah berada di sini sejak Isnin, beratur dan tidur di sini walaupun dalam kesejukan dan beku. Angin turut menerbangkan khemah kami. Harap Bolivia menang dan berikan kami kejuaraan ini dalam waktu krisis ekonomi yang sedang kami hadapi sekarang, tolonglah," katanya.

Sementara itu, Cirilo Gonzalez pula menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan pasukan Bolivia, meskipun menentang gergasi bola sepak seperti Brazil.

"Kami berada di sini pada ketinggian lebih 4,000 meter dari paras laut, dan Brazil tidak akan mampu kalahkan kami. Rakyat Bolivia di sini untuk menang," katanya.

Perlawanan itu dianggap penting dalam usaha Bolivia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia – kali terakhir pasukan itu layak ialah pada tahun 1994.

Setakat ini, Bolivia menduduki tangga kelapan dalam kedudukan kumpulan, hanya satu anak tangga bawah zon kelayakan play-off. Pasukan di tempat ketujuh akan melangkah ke Kejohanan Play-Off FIFA.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI