SEATTLE, 3 Ogos - Juara dunia pecut 100 meter, Sha’Carri Richardson ditahan polis atas dakwaan keganasan rumah tangga di Lapangan Terbang Seattle, empat hari sebelum Kejohanan Olahraga Amerika Syarikat bermula, lapor USA TODAY Sports.
Atlet berusia 25 tahun itu, yang memenangi pingat perak Olimpik Paris bagi acara 100 meter, didakwa menolak pasangannya sehingga lelaki berkenaan hilang imbangan dan terhentak pada tiang berhampiran selepas berlaku pertengkaran.
Richardson dilaporkan ditahan pada 27 Julai sebelum dibebaskan keesokan harinya.
Reuters melaporkan pihaknya telah menghubungi Polis Pelabuhan Seattle, ejen Richardson serta pihak Olahraga Amerika Syarikat (US Track & Field) bagi mendapatkan maklum balas.
Richardson menarik diri daripada acara separuh akhir 100 meter di Eugene, Oregon pada Jumaat, selepas beraksi pada peringkat saringan sehari sebelumnya.
Bagaimanapun, dia tetap dijamin tempat untuk acara 100 meter di Kejohanan Dunia September depan, hasil kemenangan yang dicapai di Budapest pada 2023.-REUTERS