ISTANBUL, 3 Ogos- Stadium Rams Park dibanjiri penyokong yang hadir meraikan ketibaan penyerang, Victor Osimhen dan pemain sayap, Leroy Sane pada majlis menandatangani kontrak bersama Galatasaray, semalam.
Juara Super Lig Turkiye itu pada Khamis mengumumkan pembelian Osimhen dari kelab Serie A, Napoli dengan nilai €75 juta (AS$85.74 juta), sekali gus menjadikan penyerang Nigeria itu sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak Turkiye.
Perpindahan tersebut memecahkan rekod terdahulu yang dicatatkan Fenerbahce ketika menandatangani Youssef En-Nesyri dari Sevilla.
Osimhen sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan dari Napoli tahun lalu, namun rundingan untuk perpindahan, kekal gagal dimuktamadkan pada hari terakhir jendela perpindahan musim tersebut.
Beliau kemudiannya menyertai Galatasaray secara pinjaman untuk musim 2024-25, di mana beliau tampil cemerlang dengan 37 jaringan dan lapan bantuan gol dalam 41 penampilan, sekali gus membantu kelab itu merangkul kejuaraan liga ke-25.
Sementara itu, Sane berpindah dari Bayern Munich ke Galatasaray dan telah membuat penampilan sulungnya sebagai pemain gantian dalam aksi persahabatan menentang kelab Ligue 1 Perancis, Racing Strasbourg, hujung minggu lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu, yang memiliki 70 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman, menjaringkan 61 gol dan mencipta 55 bantuan gol dalam 220 penampilan bersama Bayern dalam semua pertandingan.
Sepanjang kariernya di Munich, beliau meraih empat kejuaraan Bundesliga, Piala Super Jerman, Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab.
Sane menyertai Bayern pada 2020 dengan kontrak lima tahun selepas meninggalkan Manchester City, di mana beliau turut meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2018 dan 2019. -REUTERS