LOS ANGELES, 3 Ogos- Los Angeles Lakers mengumumkan lanjutan kontrak selama tiga tahun bernilai AS$165 juta pemain lima kali All-Star NBA, Luka Doncic, sekali gus memastikan kelangsungan jangka panjang bintang paling menyerlah dalam arena bola keranjang dunia.
“Saya baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama Lakers. Teruja untuk terus bekerja membawa kejuaraan ke LA dan membanggakan Laker Nation.
Terima kasih kepada Lakers, rakan sepasukan dan semua peminat yang menunjukkan sokongan sejak hari pertama. Ini baru permulaan,” tulis Doncic di media sosial.
Presiden Operasi Bola Keranjang dan Pengurus Besar Lakers, Rob Pelinka menyifatkan ia sebagai detik bersejarah buat pasukan itu.
Doncic, 26 tahun, menyertai Lakers menerusi pertukaran besar-besaran pada Februari lalu yang menyaksikan Anthony Davis berhijrah ke Mavericks, langkah yang mengejutkan dunia sukan.
Doncic dipilih lima kali ke dalam pasukan utama All-NBA, mengetuai senarai penjaring liga musim 2023-24 dengan purata 33.9 mata setiap perlawanan dan turut mencatat 73 mata dalam satu perlawanan, rekod tertinggi dalam kariernya.
Kini, beliau berada di tempat ketiga purata jaringan sepanjang zaman musim biasa dan mengumpul 82 triple-double, keempat terbanyak dalam kalangan pemain aktif. -REUTERS