fb fb fb fb fb

Lakers ikat Luka Doncic dengan lanjutan kontrak tiga tahun bernilai AS$165 juta

Luka Doncic

LOS ANGELES, 3 Ogos – Los Angeles Lakers mengesahkan telah mengikat lanjutan kontrak selama tiga tahun bernilai AS$165 juta dengan bintang bola keranjang dan lima kali All-Star NBA, Luka Doncic.

Perkembangan itu sekali gus memastikan masa depan jangka panjang pemain Slovenia berusia 26 tahun itu terus bersama Lakers, demikian menurut kenyataan rasmi pasukan pada Sabtu.

"Saya baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama Lakers.

"Saya teruja untuk terus bekerja keras membawa kejuaraan ke Los Angeles dan membanggakan penyokong Laker Nation. Terima kasih kepada pihak pengurusan, rakan sepasukan dan semua peminat yang sentiasa menyokong sejak hari pertama. Ini hanyalah permulaan," tulis Doncic dalam satu hantaran di media sosial.

Presiden Operasi Bola Keranjang dan Pengurus Besar Lakers, Rob Pelinka menyifatkan langkah itu sebagai detik bersejarah buat francais tersebut.

Doncic mula menyertai Lakers pada Februari lalu menerusi pertukaran besar-besaran yang menyaksikan Anthony Davis berpindah ke Dallas Mavericks — satu perpindahan yang mengejutkan dunia sukan.

Sejak bersama Lakers, Doncic telah mencatat purata 28.2 mata, 8.1 rebound, 7.5 assist dan 1.6 steals dalam 28 perlawanan terakhir musim biasa, sekali gus membantu pasukan menduduki tempat ketiga dalam Western Conference.

Pemain pilihan ketiga dalam NBA Draft 2018 itu mempunyai purata kerjaya sebanyak 28.6 mata, 8.6 rebound dan 8.2 assist sepanjang tujuh musim bersama Mavericks dan Lakers.

Bintang yang telah lima kali dipilih ke Pasukan Utama All-NBA itu juga mengetuai senarai penjaring liga dalam musim 2023–2024 dengan purata 33.9 mata setiap perlawanan, termasuk rekod peribadi 73 mata dalam satu perlawanan.

Dengan pencapaian tersebut, Doncic kini menduduki tempat ketiga dalam purata mata tertinggi sepanjang musim biasa dan merekodkan 82 triple-double sepanjang kerjayanya, keempat tertinggi dalam kalangan pemain aktif NBA.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI