fb fb fb fb fb

MGF cadang hantar gimnas lelaki ke Jepun

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Tumpuan gimnastik artistik kini beralih kepada skuad lelaki untuk menyumbang pingat pada Sukan SEA ke-32 susulan tuan rumah, Kemboja, menggugurkan kategori wanita pada edisi di Phnom Penh tahun depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril berkata berikutan itu pihaknya bercadang untuk menghantar skuad lelaki kebangsaan mengikuti kem latihan di Jepun, sebagai persiapan terakhir menjelang temasya dwitahunan yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 17 Mei tahun depan.

“Kami berharap untuk menghantar pasukan ke Jepun selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan berada di sana sehingga Sukan SEA akan datang.

“Bukan itu sahaja, kem latihan ini juga akan membantu para atlet untuk persiapan Piala Dunia yang turut menawarkan slot ke Kejohanan Dunia. Kejohanan Dunia juga amat penting kerana ia adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Afrita berkata segala perancangan dibuat bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan.

(Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril)

Bekas gimnas negara itu berkata MGF berkemungkinan menghantar hanya dua gimnas lelaki yang dikenal pasti sebagai prospek pingat iaitu Muhammad Sharul Aimy dan Ng Chun Chen ke Japan, sekiranya mengalami kekangan kewangan.

Muhammad Sharul meraih pingat gangsa acara kekuda berpelana pada edisi di Hanoi, Vietnam.

Menurut Afrita, tumpuan pastinya kepada gimnas lelaki dari Filipina yang juga juara dunia Carlos Yulo, yang menjadi pencabar pada Sukan SEA kali ini. -BERNAMA

Media Baharu