(Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim beramah mesra bersama pemain-pemain pasukan
Todak dan Team HAQ sebelum berlepas ke Indonesia bagi menyertai kejohanan Mobile Legends:
Bang Bang M4 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)/BERNAMA)
SEPANG, 26 Disember- Pasukan HAQ dan Todak yang mewakili Malaysia ke Kejuaraan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4 di Jakarta, Indonesia mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim kedua-dua wakil negara itu mempunyai peluang cerah kerana sudah membuat persiapan lebih baik dan rapi menjelang kejohanan dunia itu.
Katanya, kedua-dua pasukan tersebut juga sudah memahat nama Malaysia bukan sahaja di prestasi domestik namun di serantau Asia sekali gus menjadi pencabar hebat kepada negara lain.
"Harap-harap kita dapat tengok dua pasukan dari Malaysia ini bukan sahaja menang untuk mengharumkan nama negara tapi yang lebih penting sekali jadi inspirasi kepada golongan belia.
"Kumpulan ini merupakan satu generasi baharu yang menzahirkan usaha dan minat mereka memperjuangkan nama Malaysia dalam industri e-sukan sebegini," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika majlis pelepasan kedua pasukan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA).
Sementara itu, Jurulatih pasukan Team HAQ menegaskan biarpun dijangka bakal menerima saingan sengit apabila diundi bersama beberapa pasukan juara namun sasaran melepasi 16 terbaik tetap menjadi idaman pasukan.
(Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim bergambar bersama pemain-pemain pasukan Todak dan
Team HAQ sebelum berlepas ke Indonesia bagi menyertai kejohanan Mobile Legends:
Bang Bang M4 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)/BERNAMA)
Manakala bagi pengurus pasukan Todak, Radzi Rahman Ibrahim berharap pengalaman bermainempat kali di pentas antarabangsa dijadikan kelebihan selain beberapa strategi baharu sudahpun mendapat keserasian terhadap pemain.
Kejohanan Dunia MLBB M4 dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 15 Januari tahun depan dengan Istora Senayan di Jakarta bakal menjadi venue pertarungan 16 pasukan terbaik seluruh dunia merebut gelaran juara dunia dan hadiah AS800,000.