fb fb fb fb fb

'Ombak Challenge' ke-5 terima penyertaan terbesar sejak 2015

MARANG, 26 Disember - 'Ombak Challenge' mencipta penanda aras tersendiri apabila menerima penyertaan terbesar sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2015.

Seramai 123 pelumba beraksi untuk edisi penganjuran kali ke-5 ini, untuk mencipta catatan masa terpantas dengan jarak kayuhan sejauh 300 meter hingga ke garisan penamat yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 keseluruhan bagi tiga kategori yang dipertandingkan.

Persatuan Kanu Negeri Terengganu selaku penganjur sejak edisi pertama sehingga kini, tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan walaupun menawarkan hadiah wang tunai kepada juara.

Pada penganjuran kali ini, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) antara yang mencuri tumpuan untuk pertama kali beraksi bagi kategori terbuka berpasukan.

Menurut pengarah pertandingan Ombak Challenge 2022 yang juga Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu, Dzulkafli Abas berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada setiap peserta meskipun kejuaraan ini diadakan dalam serba ringkas.

(Dzulkafli Abas)

"Peningkatan jumlah penyertaan pada setiap edisi dan kualiti yang ada pada setiap pelumba itu menjadi penambah baik bagi edisi penganjuran akan datang, di mana dua lagi kategori baru akan diperkenalkan iaitu kategori peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan kategori kebangsaan bakal menjadi taruhan.

"Potensinya pertandingan seumpama ini diadakan di negara kita dan menjadikan satu-satunya sukan yang paling menarik di dalam negara kita," kata Dzulkafli di sini.

Pasukan 'Ikan Dukeng' yang dibarisi bekas-bekas atlet Terengganu di pentas Sukan Malaysia(SUKMA 2022) yang lalu muncul juara bagi kategori utama terbuka 'relay' berpasukan , membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Kejohanan berlangsung selama dua hari di pantai Taman Rekreasi Pulau Kekabu, di sini.

Media Baharu