LIVERPOOL, 5 Julai - Mohamed Salah berkata kematian rakan sepasukan, Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya menyebabkannya berasa takut untuk kembali ke kelab itu, ketika peminat yang berduka membanjiri Anfield untuk memberikan penghormatan terakhir.
Penyerang Portugal berusia 28 tahun itu dan adiknya Andre Silva, 25, maut awal pagi kelmarin selepas kereta mereka terbabas dan terbakar di lebuh raya Sepanyol.
Upacara penghormatan terakhir buat dua beradik itu diadakan di sebuah gereja kecil di pinggir Porto, Gondomar, menjelang pengebumian dijadual berlangsung petang ini, manakala peminat di Liverpool turut berkabung.
Rakan sepasukan Jota sukar untuk menerima berita kematian itu dengan kapten Virgil van Dijk menulis di Instagram menyatakan "benar-benar hancur dan tidak percaya sama sekali".
Pemain Mesir, Salah turut meluahkan rasa sedih di media sosial mengakui takut untuk kembali ke kelab itu selepas bercuti.
"Saya benar-benar hilang kata-kata, Sehingga semalam, saya tidak pernah terfikir akan ada sesuatu yang menakutkan untuk kembali ke Liverpool selepas rehat.
"Saya tidak pernah terfikir ada sesuatu yang boleh membuatkan saya takut untuk kembali ke Liverpool selepas bercuti.
"Rakan sepasukan datang dan pergi, tetapi bukan seperti ini. Amat sukar untuk menerima Diogo tiada lagi bersama bila kami kembali nanti.
"Rakan sepasukan datang dan pergi tetapi tidak seperti ini. Ia akan menjadi sangat sukar untuk menerima bahawa Diogo tidak akan bersama lagi apabila kami kembali.
"Fikiran saya ketika ini buat isterinya, anak-anaknya dan tentunya ibu bapanya yang tiba-tiba kehilangan anak-anak mereka. Mereka yang rapat dengan Diogo dan Andre sangat memerlukan sokongan. Mereka tidak akan pernah dilupakan." katanya.
Jota baharu melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Rute Cardoso pada 22 Jun lepas, menyiarkan video perkahwinan mereka di Instagram beberapa jam sebelum kemalangan itu. Mereka mempunyai tiga orang anak.
Peminat meletakkan bunga, selendang dan jersi di luar Anfield dan situasi serupa dapat dilihat di Stadium Molineux, Wolves, kelab Jota sebelum berhijrah ke Liverpool.
Delegasi daripada kelab pesaing bandar Liverpool, Everton, termasuk penyerang Beto dan Youssef Chermiti turut hadir memberikan penghormatan dan meletakkan kalungan bunga.
Liverpool turut membuka buku takziah dan menurunkan bendera separuh tiang. – AFP