fb fb fb fb fb

Kerajaan Perak sokong PAFA perkukuh pasukan dengan pemain import

Foto Bernama

IPOH, 5 Julai- Kerajaan negeri tidak menghalang langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil pemain import baharu bagi memperkukuh pasukan Perak FA menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025–2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata keputusan pengambilan pemain import itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan PAFA.

“Pengurusan pasukan sedang mengenal pasti beberapa pemain import yang sesuai dengan sistem permainan serta tawaran gaji yang ditetapkan. Sudah tentu PAFA akan memilih pemain terbaik untuk memperkuat pasukan.

“PAFA juga berhasrat melihat pasukan Perak FA berjaya dalam Liga A1 dan seterusnya kembali ke kancah Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Sukan Ukur SeMalaysia (PESUMA) ke-35 anjuran Majlis Sukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di Stadium Azlan Shah, di sini semalam.

Terdahulu, Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata seramai 24 pemain telah menerima surat tawaran menyertai pasukan Perak FA bagi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025–2026 dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Beliau berkata PAFA masih dalam proses mencari pemain import dan mempunyai tempoh sehingga Ogos depan untuk melengkapkan senarai penuh 30 pemain.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH