DOHA, 1 Disember- Mexico tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2022 meskipun menang 2-1 ke atas Arab Saudi dalam Kumpulan C, semalam.
Di sebalik beberapa usaha yang dilakukan, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol pada separuh masa pertama di Stadium Lusail.
Mexico memecah kebuntuan, menerusi Henry Martin yang melakukan jaringan dari jarak dekat pada minit ke-48.
Selepas lima minit, Luis Chavez melakukan sepakan percuma jarak jauh yang menakjubkan dan menewaskan penjaga gol Mohammed Alowais.
Pada minit ke-56, Hirving Lozano menjadikan kedudukan 3-0, tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Sementara itu, pemain Arab Saudi Salem Aldawsari berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan dan perlawanan berakhir 2-1.
(Pemain Mexico, Hector Moreno gagal mengawal perasaan setelah pasukannya tersingkir
daripada Piala Dunia Qatar 2022 / FOTO AFP)
Keputusan itu meletakkan Argentina berada di tangga teratas Kumpulan C dengan enam mata, Poland dan Mexico masing-masing mengumpul empat mata dan Arab Saudi di tangga terbawah kumpulan dengan tiga mata.
Poland menduduki tempat kedua dan berjaya mara ke peringkat seterusnya, mengetepikan Mexico dengan perbezaan gol. -AFP