BUENOS AIRES, 12 Julai- Bintang Argentina, Lionel Messi menyatakan keterujaan untuk beraksi bersama pasukan baharunya, Inter Miami dan tidak menyesal dengan keputusan untuk berpindah.
Pemain berusia 36 tahun itu tiba di Amerika Syarikat pada Selasa sebelum satu majlis ramah mesra dan sesi pengenalan sebagai pemain Inter Miami pada Ahad ini.
"Saya gembira dengan keputusan yang kami buat. Saya bersedia dan tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu.
"Mentaliti dan keputusan saya tidak akan berubah dan saya akan cuba. Di mana sahaja saya berada, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk diri saya dan juga kelab, untuk terus beraksi di peringkat tertinggi," kata Messi dalam temu bual dengan TV Argentina pada Selasa.
Kelab itu sedang membuat persiapan untuk mengadakan acara khas untuk pemenang Ballon d'Or tujuh kali di Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale.
(FOTO REUTERS)
"Peminat akan dapat menikmati malam hiburan yang menarik, ucapan di atas padang dan banyak lagi," kata kelab itu dalam satu kenyataan, sambil menambah tiket adalah percuma untuk pemegang tiket musim.
Pemenang Piala Dunia itu akan disatukan semula dengan bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets di Inter Miami serta bekas jurulatih Argentina, Gerardo Martino.
Messi dijangka membuat penampilan sulung untuk kelab itu pada 21 Julai dalam pertembungan Piala Liga menentang pasukan Mexico, Cruz Azul.