SPLIT,12 Julai- Bekas penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar kekal dalam unit rawatan rapi susulan berlaku pendarahan otak, minggu lalu.
Perkara tersebut disahkan isterinya, Annemarie; bagaimanapun, Van der Sar berada dalam keadaan stabil.
Pemain berdarah Belanda itu dilapor telah dimasukkan ke hospital Split pada Jumaat semasa bercuti di Croatia.
“Edwin masih dalam unit rawatan rapi tetapi stabil. Dia tidak berada dalam bahaya yang boleh mengancam nyawa,” kata Annemarie menjelaskan keadaan bekas pengarah Ajax itu.
"Setiap kali kami melawatnya, dia dapat berhubung dengan kami. Kami perlu menunggu dengan sabar untuk melihat bagaimana keadaannya akan berkembang.”
Van der Sar, 52, menghabiskan enam tahun sebagai pemain di Old Trafford sebelum pergi pada 2011.
Dia meninggalkan Ajax sebelum akhir musim lalu apabila kelab itu menduduki tempat ketiga dalam liga Belanda dan terlepas bola sepak Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2009.- REUTERS
(FOTO REUTERS)