fb fb fb fb fb

Piala Raja Thai: Thailand libas Malaysia

(FOTO RTM)

BANGKOK, 12 Julai - Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Thailand, selepas tewas pada perlawanan akhir acara regu lelaki Kejohanan edisi ke-36, di Korat malam tadi.

Pasukan negara yang dibarisi gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Amirul Zazwan Amir dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, tewas 20-22, 17-21, di tangan trio Thailand.

Pada set pertama, kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 18-18.

Kesilapan pemain lawan menahan bola dan servis padu Mohammad Syahir kemudiannya meletakkan Malaysia di ambang kemenangan set pertama, namun Thailand tenang bangkit mengutip empat mata berturut-turut, sekali gus menokhtahkan permainan 22-20.

Momentum cemerlang itu diteruskan Thailand pada set kedua.

Thailand yang bermula perlahan, berjaya mendahului 11-7 sebelum Malaysia bangkit menguasai permainan 12-11.

Namun Thailand terus mendominasi gelanggang sehingga memuktamadkan kemenangan 21-17.

Biarpun tewas, keputusan itu menyaksikan Malaysia memperbaiki pencapaian meraih pingat gangsa pada edisi lepas.

Skuad sepak takraw lelaki negara selepas ini akan turun berentap dalam acara regu berpasukan, esok.

Malaysia membawa pulang gangsa dalam acara regu berpasukan lelaki pada edisi lepas.


(Aksi skuad negara pada final Piala Raja Thailand)

Media Baharu