TOKYO, 1 November - Pengurus Jepun, Hajime Moriyasu menamakan bekas bintang remaja Barcelona, Takefusa Kubo dalam skuad 26 pemainnya ke Piala Dunia Qatar 2022.
Kubo, 21 tahun yang digelar sebagai 'Messi Jepun' memulakan kariernya bersama Barcelona pada usia 9 tahun sebelum berpindah ke Real Sociedad dengan perjanjian tetap musim ini.
Skuad yang digelar 'Samurai Biru' itu akan memulakan cabaran dalam kumpulan E yang dianggap sebagai kumpulan maut pada edisi kali ini.
(Pengurus Jepun,Hajime Moriyasu/AFP)
Selain Kubo, Jepun turut menyenaraikan beberapa bintang yang 'berkelana' di Eropah seperti pemain sayap kelab Brighton, Kaoru Mitoma dan penyerang kelab Monaco, Takumi Minamino.
Turut disenaraikan dalam kesebelasan utama Jepun kali ini, beberapa pemain veteran seperti Maya Yoshida,Yuto Nagatomo dan penjaga gol, Eiji Kawashima dengan masing-masing bakal membuat penampilan ketiga dan keempat pada pusingan akhir piala dunia.
Selain itu, Moriyasu turut membuat kejutan dengan menyenaraikan Ko Itakura, pemain pertahanan Borussia Monchengladbach yang tidak bermain akibat dilanda kecederaan sejak September lalu.
Jepun bakal memulakan kempen Piala Dunia 2022 menentang Jerman pada 23 November sebelum menentang Costa Rica pada 27 November dan Sepanyol pada 1 Disember.-AFP