KUALA LUMPUR, 29 April- Jaguh permotoran negara, Jazeman Jaafar bakal membuat penampilan sulung dalam siri perlumbaan SUPER GT di Litar Antarabangsa Sepang, bergandingan dengan pelumba muda China, Kerong Li bawah pasukan Earl Bamber Motorsport (EBM).
Duo berbakat besar itu akan mengemudi jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO dalam kelas GT300, langkah strategik dan penuh impak buat EBM dalam salah satu siri perlumbaan GT paling kompetitif di Asia.
Jazeman, nama besar dalam arena perlumbaan global dengan pengalaman di FIA World Endurance Championship, 24 Hours of Le Mans dan GT World Challenge, turut pernah berkhidmat sebagai pemandu ujian untuk pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas. Kerong Li pula semakin mencipta nama dalam siri IMSA dan pentas Asia.
“Cabaran paling besar ialah memahami karakter tayar. Dalam SUPER GT, peraturan tayar terbuka jadi dengan sokongan Michelin, kami rasa pakej kami cukup kuat. Ini kali pertama saya pandu versi EVO jentera Aston Martin, difahamkan naik taraf aerodinamik sangat ketara,” ujar Jazeman, penuh semangat menjelang perlumbaan tersebut.
Sementara itu, pemilik pasukan, Earl Bamber, juara Le Mans, turut optimis: “Penyertaan ke dalam SUPER GT ini satu langkah besar buat kami. Kami guna segala pengalaman dari kejohanan GT3 global dan yakin barisan pelumba kami mampu bawa keputusan cemerlang.”
Kembalinya SUPER GT ke Malaysia selepas 12 tahun disambut hangat, acara yang dijangka menarik seramai 80,000 peminat selama tiga hari, termasuk 30-35% pelawat antarabangsa dan memberikan impak ekonomi mencecah RM194 juta.
Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment, selaku pemegang hak eksklusif SUPER GT Malaysia berkata, “Malaysia satu-satunya negara luar Jepun yang jadi tuan rumah SUPER GT, ini satu kebanggaan.”
Acara perlumbaan turut dimeriahkan dengan SUPER GT Malaysia Festival dan konsert khas dari 26–28 Jun 2025 di kawasan Mall, Litar Sepang.
Tiket sudah mula dijual di laman rasmi www.supergtmalaysia.com. Peminat permotoran disarankan dapatkan tiket awal untuk jadi sebahagian daripada festival adrenalin terbesar tahun ini.