fb fb fb fb fb

Liga Juara Asia Elit: Kawasaki Frontale mara ke separuh akhir

Pemain Kawasaki Frontale, Yasuto Wakizaka ketika beraksi menetang kelab Al-Sadd / Foto REUTERS

JEDDAH, 28 April-Kelab Jepun, Kawasaki Frontale, mara ke separuh akhir Liga Juara Asia Elite untuk bertemu wakil Arab Saudi, Al Nassr selepas mencatat kemenangan 3-2 dalam masa tambahan menentang pasukan Qatar, Al Sadd, pada Ahad.

Frontale mendahului dua kali menerusi jaringan duo Brazil, Erison dan Marcinho, namun Al Sadd menyamakan kedudukan setiap kali menerusi pemain Brazil mereka, Paulo Otavio dan Claudinho.

Bagaimanapun, kapten Frontale, Yasuto Wakizaka, memastikan kemenangan dengan gol pada pertengahan masa tambahan.

Frontale kini akan bertemu Al Nassr, yang dipimpin Ronaldo, pada Rabu dalam saingan separuh akhir yang dikuasai pasukan-pasukan dari Arab Saudi.

Satu lagi separuh akhir yang berlangsung Selasa menyaksikan juara empat kali, Al Hilal, bertemu pasukan senegara, Al Ahli.

Frontale hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan ke atas Al Sadd, apabila Erison menyudahkan hantaran lintang Akihiro Ienaga dari sebelah kanan dengan voli separuh yang menewaskan penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham.

Al Sadd bangkit lima minit kemudian, apabila Otavio bertukar hantaran dengan Pemain Terbaik Asia Akram Afif sebelum melepaskan rembatan dari sudut tajam yang menewaskan penjaga gol Frontale, Louis Yamaguchi.

Kedudukan seri itu hanya bertahan selama 12 minit. apabila Marcinho melakukan hantaran satu-dua dengan Yuki Yamamoto sebelum menyudahkan hantaran balas untuk menewaskan Barsham sekali lagi.

Frontale mengekalkan kelebihan itu sehingga minit ke-71 apabila Claudinho meledak rembatan kencang ke gawang selepas kapten Al Sadd, Hassan Al Haydos, melakukan helah bijak untuk membuka ruang, memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Akhirnya, Frontale menemui jaringan kemenangan apabila skuad kendalian Shigetoshi Hasebe mengambil kesempatan atas kesilapan pemain gantian Al Sadd, Guilherme, pada minit ke-98.

 Yasuto Wakizaka tenang menyudahkan peluang untuk membawa kelab itu ke separuh akhir.

Keputusan itu menjadikan Frontale satu-satunya wakil dari Asia Timur yang masih kekal dalam kejohanan, yang akan berakhir pada 3 Mei depan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD