fb fb fb fb fb

Real Madrid: Rudiger direhatkan sehingga akhir musim selepas pembedahan lutut

FOTO AFP

MADRID, 29 April- Pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger, dijangka akan terlepas aksi sehingga lapan minggu selepas menjalani pembedahan bagi menangani kecederaan lutut pada hari Selasa.

Pemain antarabangsa Jerman itu telah diusir keluar padang ketika kekalahan pasukannya di final Copa del Rey menentang Barcelona pada Sabtu lalu setelah melemparkan objek ke arah pengadil.

Rudiger dijangka akan dikenakan penggantungan antara empat hingga 12 perlawanan berikutan tindakan agresifnya di Seville.

"Rudiger telah menjalani pembedahan hari ini untuk kecederaan pada meniskus luar lutut kiri," menurut kenyataan rasmi Real Madrid, tanpa memperincikan jangkaan tempoh ketiadaannya.

Media Sepanyol melaporkan bahawa Rudiger dijangka akan berehat antara enam hingga lapan minggu sepanjang proses pemulihannya.

Pemain berusia 32 tahun itu masih berpeluang untuk menyertai kempen Piala Dunia Kelab Real Madrid yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun depan, dengan kejohanan bermula pada 14 Jun.

Rudiger dikeluarkan pada masa tambahan ketika Madrid tewas 3-2 kepada musuh tradisi mereka dan turut diusir keluar selepas protes agresifnya dari tepi padang.

Real Madrid, yang kini di tempat kedua, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, dengan lima perlawanan lagi berbaki, dan kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu pada 11 Mei di Stadium Olimpik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE