BUENOS AIRES, 29 April- Kelab gergasi Argentina, Boca Juniors, telah memecat ketua jurulatih Fernando Gago pada Selasa susulan kekalahan kepada seteru utama mereka, River Plate, hujung minggu lalu.
“Keputusan telah dibuat bahawa Fernando Gago sudah sampai ke penghujung jalannya bersama kami,” kata pengarah kelab berpangkalan di Buenos Aires itu, Mauricio Serna.
“Ia keputusan yang dibuat dengan tenang, tapi bukan sesuatu yang mudah,” tambah bekas pemain tengah Boca dan Colombia itu.
Gago, 39, yang memulakan kariernya sebagai pemain di Boca, baru sahaja dilantik sebagai jurulatih pada Oktober tahun lalu.
Rekod beliau bersama kelab mencatatkan 17 kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan dengan kekalahan kepada River Plate pada Ahad menjadi titik noktah.
Jawatan Gago turut tergugat sejak penyingkiran Boca dari pusingan kedua Copa Libertadores pada Februari lalu.
“Keputusan ini sukar kerana Gago adalah sebahagian daripada keluarga kami, tapi kami di sini untuk membuat keputusan,” ujar Serna.
Pemecatan tersebut bermakna Boca akan ke Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat Jun nanti bersama ketua jurulatih baharu.-AFP