TOKYO, 29 April- Sukan seni bela diri campuran (MMA) bakal mencipta sejarah apabila disenaraikan buat pertama kali dalam temasya Sukan Asia 2026 yang akan berlangsung di Jepun, menurut kenyataan rasmi penganjur hari ini.
Menurut Majlis Olimpik Asia (OCA), MMA akan dipertandingkan sebagai satu disiplin di bawah kategori sukan tempur dan merangkumi enam acara.
Dalam mesyuarat yang berlangsung di bandar tuan rumah Nagoya pada Isnin, satu lagi sukan turut disahkan bakal menyertai temasya iaitu kriket, walaupun masih belum jelas lokasi pertandingan akan diadakan memandangkan tiada venue sedia ada di wilayah Aichi ketika ini.
Temasya Sukan Asia ke-20 itu dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026, dengan jangkaan penyertaan mencecah 15,000 atlet melebihi jumlah peserta Olimpik.
Sebelum ini, kriket T20 pernah dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou 2023 dan turut akan dimasukkan ke dalam program Olimpik Los Angeles 2028.
Penganjur tempatan dan OCA dijangka mengadakan siri mesyuarat minggu ini sebagai persediaan intensif menjelang temasya.
Pada Disember lalu, Gabenor Aichi, Hideaki Omura menyatakan persiapan berjalan lancar walaupun laporan media Jepun mendakwa OCA kurang berpuas hati dengan beberapa aspek, termasuk penginapan dan pengangkutan atlet yang tidak mengikut perjanjian bandar tuan rumah.
Tahun hadapan bakal menyaksikan Sukan Asia edisi ke-20 kembali ke Jepun, dengan Nagoya dan Aichi menjadi tuan rumah utama acara.-AFP